MAC 2024

46 Projek Bawah Sektor Air Dilulus Di Sarawak


KUCHING: Sebanyak 46 projek iaitu 33 projek sambungan dan 13 projek baharu diluluskan di bawah sektor air di Sarawak menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Dato’ Sri Fadillah Yusof dalam kenyataan media berkata, projek terbabit dengan kos sebanyak RM6.01 bilion dan sebanyak RM298 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan tahun ini.

Projek merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara, kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management - IRBM), pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan 

enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air.

"Sebuah jawatankuasa penyelarasan antara PETRA dengan Kerajaan Negeri Sarawak akan diwujudkan bagi memastikan program dan projek dapat dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknnya," katanya.

Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat PETRA dan Kerajaan Sarawak selepas Timbalan Perdana Menteri itu mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Turut sama dalam mesyuarat berkenaan Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan & Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi ; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar  Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ; Ketua Setiausaha PETRA, Dato Mad Zaidi Mohd Karli.